Erti Sebuah Perkahwinan

MENDIRIKAN RUMAH-TANGGA SAHAJA MUNGKIN SENANG TETAPI MEMASTIKAN IA KUKUH BERDIRI SEHINGGA AKHIR ZAMAN DAN MEMENUHI FUNGSINYA, MEMERLUKAN PENGORBANAN, PENYELENGGARAAN DAN PERENCANAAN YANG BAIK.KEKUKUHAN RUMAH TANGGA BUKAN SAJA BERDASARKAN BERAPA BANYAK ROS YANG DIBERI, ATAU ' CANDLE LIGHT DINNER' ATAU UNGKAPAN KATA-KATA,' AKU CINTA PADAMU' YANG DILUAHKAN, TETAPI APA YANG LEBIH PENTING IALAH KOMITMEN YANG TINGGI DARI KEDUA PIHAK SUAMI DAN ISTERI TERUTAMANYA UNTUK MEMASTIKAN KEWUJUDAN UNIT KELUARGA BIMBINGAN MEREKA MENINGGALKAN KESAN POSITIF KEPADA MASYARAKAT DAN NEGARA.
Namun saya tidak menafikan bahawa dalam membina keeratan dan kehangatan hubungan suami isteri, perkara yang disebutkan diatas itu juga amat penting.Saya ingin membawa anda kepada kefahaman yang lebih tinggi mengenai jodoh perkahwinan. Pernahkah anda terfikir, mengapalah jatuh hati dengan si dia dan mengapa anda berakhir sebagai suami isteri?. Atau mungkin ada di antara anda yang bercinta dengan orang lain tetapi berakhir dengan orang lain. Ya memang perit, namun mengapakah ini berlaku di dalam hidup anda? Kadang-kadang itu tidak masuk akal mengapa kita memilih orang yang paling kita tidak suka, tetapi entah bila perasaan itu berubah menjadi paling disukai dan berakhir ke jinjang pelamin.
Adakah semua ini berlaku tanpa sebab? Atau terjadi begitu sahaja? Saya rasa tidak. Saya yakin, kita bersama pasangan kita kerana dialah yang paling sesuai untuk kita melalui perjalanan hidup ini dan membawa perbezaan ke dunia ini. Anda bersama, kerana ada sesuatu yang anda perlu lakukan bersama untuk manusia dan dunia.Sekiranya anda ditakdirkan berpisah hidup atau mati pula kerana disitulah berakhirnya tugas anda bersama dan yang tinggal perlu melaksanakan mungkindengan pasangan lain atau sendirian. Semua berlaku di dunia ini bukan tanpa sebab!
Cuba anda amati pasangan anda. Tentu anda dapati kebanyakkan kekuatan dirinya adalah kelemahan diri anda dan juga di sebaliknya. Bersama anda berdua memperkuatkan dan melindungi satu sama lain seperti pakaian ke atas satu sama lain. Percantuman dua diri ini akan memperlengkapkan satu sama lain dan membawa kunikan dan kebahagiaan kepada kedua-dua pihak.Seterusnya zuriat yang lahir, akan bersama mengembangkan fungsi keluarga ini kepada dunia. Tiada seorang manusia pun lahir dan hidup di dunia ini tanpa misi yang sepatut ia lakukan. 
KAYAKAN DIRI DENGAN ILMU
Dalam mencapai kebahagiaan keluarga, pasangan yang bijak akan berbincang bersama. Mereka akan berusaha memperkayakan diri dengan ilmu yang membolehkan mereka menjadi pemimpin yang bertanggungjawab. Mereka mengambil masa untuk menyelami perasaan dan keinginan masing-masing dam mencapai kata putus terhadap misi keluarga yang hendak dicapai.Kita selalu melihat pasangan yang bakal berkahwin mengambil masa yang banyak merancang hari perkahwinan mereka. Namun, tidak ramai yang merancang hidup berumah-tangga.
Persoalan seperti bagaimana corak pendidikan yang hendak diberi kepada anak-anak, Siapa yang akan mengasuh anak-anak? Apakah persediaan yang perlu untuk memberi ransangan mental, fizikal dan emosi bagi membina anak-anak seimbang? Berapa jumlah anak dan berapa tahun bezanya? Saya telah membawa anda begitu jauh dan dalam bagi mengenali maksud sebuah perkahwinan. Kadang-kadang saya melihat pasangan tidak memahami perkara ini.Si suami dengan halnya sendiri dan isteri dengan agenda sendiri.Anak- anak terpinggir dan kabur apakah maksud berkeluarga. Kemana perginya kepimpinan si ayah, ke mana menghilangnya perlindungan si ibu.
Kadangkala si ayah meletakkan segala tanggungjawab pengasuhan kepada ibu dengan alasan ayah perlu bekerja dan mencari wang. Apa yang lebih menghairankan si ibu pun perlu bekerja mencari wang. Tetapi segala tanggungjawab mengasuh perlu juga dia lakukan! Maka jadilah anak-anak ini tidak mempunyai role model lelaki dan corak pemikiran lelaki yang boleh diikuti dalam menangani masalah. Anak lelaki terutamanya menjadi kekurangan dengan pandangan dan pendidikan yang datang dari satu corak pemikiran sahaja. Kecuali bila keadaan tidak dapat dielakkan seperti ibu atau bapa tunggal.Keadaan seperti ini bukanlah satu model keluarga yang baik untuk di contohi.
Pendidikan dan pengasuhan anak-anak perlulah dilakukan bersama. Perbincangan demi perbincangan serta perencanaan mestilah dilakukan selalu.Seperti di tempat kerja.Kemana hala tuju keluarga, apa yang hendak dicapai dalam jangka masa pendek, pertengahan dan jangka masa panjang, dari segi material, rohani dan jasmani.
HALA TUJU
Pengelibatan kedua-dua suami isteri dalam menentukan hala tuju keluarga adalah amat penting. Suami isteri yang berbincang dan bekerjasama menjalankan pelan-pelan yang telah di ditetapkan bersama akan merasakan kemanisan membina keluarga, tetapi tidak ramai suami isteri yang berbuat demikian. Mereka  melepaskan segalanya kepada keadaan. Hidup hari demi hari dan tiada rencana dan penyusunan. Apa yang hairannya bila memimpin organisasi perencanaannya begitu rapi. Tetapi organisasi keluarga di lepaskan kepada nasib! Mesejnya disini, suami isteri adalah pemimpin keluarga, janganlah melepaskan nasib keluarga kepada keadaan. Janganlah hidup berkeluarga hanya berdasarkan hari demi hari tanpa rancangan. Jadilah pro aktif dan susun, rancang dan peka kepada perkembangan dalam keluarga.
Bersedialah paling kurang lima tahun ke hadapan, bagi menghadapi apa jenis kemungkinan. Maksudnya sebelum berkahwin, fikirlah jenis pasangan yang bagaimana yang dikehendakki. Bila berkahwin fikirkan bagaimana perlu bersedia bila sudah mempunyai anak. Bila anak baru setahun, susun perencanaan bila anak sudah ke sekolahdan seterusnya. Pendek kata sentiasa berfikir ke hadapan dan bersedia untuk itu. Itulah maksud tawakal kepada Tuhan. Kita merencana dan berusaha dan Tuhanlah yang menentukan dan memakbulkan. Perlu difahami perkahwinan yang cemerlang membuahkan ketenangan jiwa yang membolehkan kita mencapai kecemerlangan dalam hidup. Maka jika hidup berumah-tangga kita masih belum sampai ke situ, berusahalah dan berdoalah. Jika masih belum, maka carilah ketenangan di dalam keributan itu.
DR ROZIETA SHAARI
PAKAR PEMBANGUNAN MODAL INSAN

Comments

Popular posts from this blog

Tips Usrah Online

Mujahidah sebenar..

Kelebihan puasa Syaaban & malam Nisfu Syaaban