Sunday, September 9, 2012

Membangkitkan iman



Oleh: Dr. Majdi al-Hilali

Ramai orang yang bergiat di lapangan Islam pada masa ini teragak-agak dengan istilah "membangkitkan iman," padahal ianya perlu diberi keutamaan dalamobjektf tarbiah untuk membentuk keperibadian Islam. Ini adalah perkara yang baik di mana patut digalakkan dan diberi sokongan oleh semua orang. Kenapa tidak padahal umat pada dasarnya sedang dibelenggu dengan masalah iman. Masalah umat tidak akan dapat diperbaiki kecuali dengan iman;

“Padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.” (Ali-Imran: 139)

Kita akan lakukan perbincangan tentang topic ini biarpun kita tidak bermula dengan makna iman; untuk kita perbaharui dan hidupkan iman di dalam hati kita. Namun untuk mendatangkan hasil yang diharap-harapkan dari kebangkitan iman, kita mesti sepakat tentang makna membangkitkan iman ini. Kerana ianya bukanlah menunaikan solat berjamaah di masjid semata-mata, solat-solat sunat dan banyak mengingati Allah. Berapa ramai orang yang berbuat demikian tetapi pada masa yang sama kita lihat beliau sangat mengutamakan harta, segala-galanya berkira, berfikir tentang haknya terlebih dahulu dan mengabaikan hak-hak orang lain dan memberi fokus yang berlebihan kepada dunia. Jika dia pergi membeli sesuatu anda mendapati beliau bergerak antara satu kedai ke satu kedai untuk mencari yang lebih murah; tidak penat tawar-menawar untuk mengurangkan harga sebanyak mungkin dan lebih teruk lagi jika beliau diminta membantu orang lain, dia takut kehilangan harta, walaupun sedikit, ataupun beliau hilang dari tangannya perniagaan yang menguntungkan!

Keadaan ini bukan hanya berlaku kepada golongan yang kaya sahaja; malah berlaku kepada yang miskin dan sederhana .. Kita menemui beberapa percanggahan antara ibadah mereka yang zahir dan antara tingkah laku serta muamalah mereka, khususnya yang berkaitan harta dan wang, kerana mereka terlalu menekankan dunia dan merasa sedih di atas kehilangan sesuatu yang ditempuhi mereka, berangan-angan dan bercita-cita mendapatkan dunia yang terbentang .. yang menguasai imaginasi mereka. Tidak dapat dinafikan bahawa memelihara solat pada awal waktu di masjid adalah manifestasi iman, tetapi apabila ibadah yang zahir tidak bergerak seiring dalam kehidupannya serta meremehkan dunia di mata pemiliknya dan menghilangkan iman di dalam hatinya. Kemudian melayani dunia menurut pandangan ini.

Oleh itu, ini adalah penunjuk penting ketidakupayaan iman dalam hati dan tidak mampu sampai ke tahap bangkit dan sedar. Tatkala iman seseorang bangkit dan bara di dalam hatinya menyala;, ini akan menjadikan pemilik hati ini menyedari tentang hakikat dunia. Lalu ia akan memandang kecil menurut pandangan matanya, dan memandang remeh tentangnya dan melihat harta di atas hakikatnya, bahawa ianya adalah "harta Allah”, dan beliau telah dilantik menjadi khalifah oleh Allah untuk menguruskan harta dengan sebaik-baiknya. Pemilik harta lebih rela jika dibelanjakan dalam perkara-perkara yang baik selagi mampu berbuat demikian.

Sememangnya, harta adalah simbol yang paling penting bagi dunia. Justeru, tatkala kita melihat seseorang yang beriya-iya untuk harta, terlalu mementingkannya, takut kehilangan dan merasa sempit bila hartanya berkurangan .. Ini memberikan satu petunjuk yang kukuh bahawa dunia ini telah berada dalam hatinya dan telah menguasai sudut yang besar di dalamnya. Imannya walaupun masih ada hanyalah iman yang lemah dan tertidur. Jika anda bertanya; Ada sesetengah orang mengeluarkan harta yang banyak di jalan Allah, namun mereka amat kurang dalam melakukan perbuatan baik, malah berani untuk melakukan beberapa dosa dan maksiat!.

Sudah tentu .. Hal ini benar-benar berlaku kepada sesetengah orang. Mungkin derma mereka di jalan Allah dalam kes ini kerana bertitik tolak dari pendidikan pertama yang menyuruh mereka kepada kemurahan hati dan sifat dermawan. Namun, perlu diingat untuk menjadikan sifat dermwan ini sebagai tanda "kebangkitan iman" dalam hati mereka; mestilah diiringi oleh kemunculan tanda-tanda lain.

Rasulullah saw telah menghuraikan tanda-tanda kebangkitan iman ini. Ia telah diriwayatkan dari Abdullah ibn Mas'ud berkata: Wahai rasulullah! Katakan kepada kami tentang ayat berikut:

“Maka Apakah orang-orang yang dibukakan Allah hatinya untuk (menerima) agama Islam lalu ia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang membatu hatinya)?.” ( Az Zumar, 39:22).

Maka kami (para sahabat) berkata: Wahai Rasulullah! Bagaimanakah caranya mengetahui hati dilapangkan atau dibuka oleh Allah? Beliau menjawab: “Bila hati seseorang sudah masuk ke dalamnya Nur (cahaya Iman) maka dia akan menjadi lapang dan terbuka.” Mereka (para Sahabat) bertanya: “Apakah tandanya hati yang terbuka dan lapang itu ya Rasulullah.” Beliau menjawab: “Fokus (pusat) perhatiannya sangat kuat terhadap kehidupan yang kekal dan abadi di akhirat, dan tumbuh kesadaran yang tinggi terhadap tipu daya kehidupan dunia yang sekarang ini, lalu dia berkerja keras mempersiapkan bekalan menghadapi mati sebelum datangnya mati itu.” (HR. Al-Hakim dan al-Baihaqi)

Tanda pertama seperti yang disebut dalam hadith ialah: “Fokus (pusat) perhatiannya sangat kuat terhadap kehidupan yang kekal dan abadi di akhirat.” Antara bentuknya ialah: Bersegera melakukan pelbagai jenis perbuatan baik, bersifat wara’ dan sensitiviti yang kuat terhadap perkara haram dan segala perkara yang syubhat dan mendahulukan kepentingan agama mengatasi semua kepentingan dunia ketika bertembung antara dua kepentingan ini. Manakala bentuk kepada tanda kedua yang membangkitkan iman; "dan tumbuh kesadaran yang tinggi terhadap tipu daya kehidupan dunia yang sekarang ini "; Iaitu ia tidak beriya-iya untuk mengumpulkan harta dunia, tidak berasa sedih tentang kehilangannya atau hartanya berkurang, dan amat sedikit memikirkan tentang hal itu, dan tidak berasa iri hati dengan harta yang diperolehi orang lain atau mengharap-harapkan harta yang dimiliki oleh orang kaya; melainkan harta yang ada ingin didermakan pada jalan Allah. Manakala bentuk; “berkerja keras mempersiapkan bekalan menghadapi mati sebelum datangnya mati itu” ; Bersegera untuk bertaubat dengan ikhlas dan sentiasa memberikan perhatian untuk Allah, membebaskan dari tempat-tempat yang menzalimi diri sendiri, mengembalikan hak dan amanah kepada pemiliknya.

Tanda-tanda ini adalah mencerminkan kebangkitan iman dan dibukakan dadanya untuk menerima iman, dan tidak sebaliknya. Dengan makna bahawa ia tidak boleh melompat ke dalam aspek-aspek ini dan cuba untuk mendapatkanya, melainkan dimulai dengan membangkitkan iman. Oleh itu, untuk tujuan memperbaiki keadaan ibadat, tingkah laku, perhatian dan muamalahnya, kita mestilah bermula dari titik yang betul, iaitu: bekerja untuk membangunkan iman di dalam hati, dan bukan sebaliknya.

Jelasnya, terlalu memberi perhatian dalam melaksanakan ibadah dan memperbaiki tingkah laku tanpa memberi perhatian untuk membangkitkan hati mengikut yang sepatutnya, jika berjaya dari segi formaliti, akan menghasilkan peribadi yang samar-samar kerana mempunyai dua keperibadian; Kita dapati beliau rajin di masjid untuk menunaikan solat, tetapi kemudian di kedai beliau melayani orang dengan kasar, tidak menepati janji, kadang-kadang buruk layanannya terhadap keluarga dan kerabatnya, dan terjerumus sedikit demi sedikit kepada harta seakan-akan kupu-kupu terjatuh sedikit demi sedikit ke dalam api. Sebaliknya, apabila kita mula dengan iman yang membangkitkannya; maka ianya seolah-olah seperti sebatang pokok yang tumbuh, berkembang dan melahirkan buah-buahan yang masak pada setiap masa dan setiap cabang:

“Kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. (Ibrahim: 24-25).

Sudah cukup untuk mengukuhkan makna ini melalui firman Allah SWT dalam ayat yang lengkap ini: “Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Baqarah: 177).

Justeru, Imam Ibn al-Qayyim memulakan bukunya yang indah “Madarij as-Salikin” atas tajuk "Bangkit atau sedar", di mana beliau berkata: "Tempat pertama tentang ibadah ialah kebangkitan. Iaitu hati terjaga melalui jeritan yang menyedarkan dari tidur orang-orang yang terlena. Demi Allah .. Alangkah bermanfaat jeritan ini!! Alangkah penting jeritan ini!! Alangkah membantunya jeritan ini ke atas tingkah laku!! Ini kerana sesiapa yang merasainya akan terasa. Demi Allah, pasti akan Berjaya. Jika tidak, pasti ia tenggelam dalam kelekaan, kerana apabila tersedar ia segera menetapkan cita-cita untuk melakukan perjalanan ke tempatnya yang pertama.

Ketahuilah bahawa seseorang hamba sebelum itu berada dalam tidur yang melekakan, hatinya telah tidur. Oleh itu, langkah awal tentang tidur ini ialah membangkitkan dan menyedarkan dari tidur. " Justeru, kita menyedari intipati dari kata-kata Imam Syahid Hasan al-Banna yang pernah bercakap dengan orang ramai, di mana beliau berkata: "Sebelum kita berbicara lebih lanjut tentang solat dan puasa, tentang kehakiman dan undang-undang, tentang adat dan ibadat, tentang system dan urusan harian, kita mestilah memiliki hati yang hidup, roh yang menyala, jiwa yang sedar, perasaan yang peka, iman yang tinggi dengan ketiga-tiga nilai ini iaitu keimanan yang tinggi dengan risalah ini, rasa bangga kerana memilikinya dan harapan yang tinggi untuk menerima bantuan Allah. Adakah anda mempercayainya?” (Risalah: Dakwah kita di era baru).

Membangkitkan iman bermakna memasukkan cahaya ke dalam hati, menyalakan bara di dalamnya supaya tercerna pada amal ibadah, muamalah dan perhatian. Selagi kita cuba untuk memperbaiki perkara-perkara ini tanpa memulakan dengan membangkitkan iman dalam erti kata yang sebenarnya, maka hasilnya akan lemah dan tidak setimpal dengan usaha.

Jika anda bertanya; Bagaimana cara untuk membangunkan iman dan menyalakan baranya di dalam hati? .. Saya datangkan jawapan bahawa generasi sahabat muncul hasil daripada membangkitkan iman. Cukuplah kita mengambil kata-kata Imam al-Qurafi:

“Kalaulah Rasulullah tidak didatangkan mukjizat kepadanya, melainkan para sahabat sudah cukup dapat membuktikan tentang kenabiannya.”

Oleh itu, kita tidak mempunyai pilihan melainkan mencari cara-cara yang telah mereka gunakan sehingga mereka mencapai ke tahap ini supaya kita dapat menggunakannya pula.

Saya fikir bahawa pencarian kita tidak akan menjadi panjang jika kita mengambil perkara ini betul-betul dan kita melakukannya secara serius dan bersungguh-sungguh. Kita semua tahu bahawa umat ini tidak akan dapat diperbaiki dengan cara lain melainkan dengan melakukan seperti mana yang telah dilakukan oleh generasi yang pertama.



Dr. zaadud duat-terjemahan ikhwanonline.



No comments:

Post a Comment